30 Julai 2008




Cadangan balas Kabinet bayangan YB M Kulasegaran

Muqabalah @ Muzakarah: Kenapa PAS Sahaja Yang Terlarang?

Oleh Zukri Aksah

Lama dahulu sebelum Saudara Anwar bebas, Wan Azizah ada bertemu Pak Lah, Saifuddin Nasution juga ada bertemu Pak Lah, selain dari yang dinyatakan kepada umum bahawa pertemuan itu pada ketika itu adalah untuk memohon jasa baik Pak Lah bagi membenarkan Saudara Anwar ke luar negara berubat, buah-butir yang selebihnya tidak pernah diketahui penyokong terbanyak, dengar ceritanya Wan Azizah memanggil Pak Lah dengan panggilan 'Uncle.'

Saudara Anwar juga selepas bebas ada berjumpa Pak Lah ketika rumah terbuka Hari Rayanya, selain kenyataan umum bahawa pertemuan itu semata-mata adalah untuk merakamkan ucapan terima kasih Saudara Anwar kepada Pak Lah kerana tidak mencampuri urusan penghakiman kesnya, yang lain-lainnya juga tidak pernah diketahui oleh penyokong terbanyak. Kita juga tidak pernah lupa bahawa Saudara Khairy Jamaluddin ada bertemu Saudara Anwar selepas bebasnya, selain alasan menguruskan passport, perbincangan lain antara mereka tidak pernah pula cuba dikorek oleh orang-ramai.

Tidakkah semua itu namanya muqabalah, tidakkah sebahagiannya melibatkan muzakarah? Walaupun ada dari insiden di atas yang terus kelam sampai sekarang, nampaknya sama ada Saudara Anwar, Wan Azizah mahupun Saifuddin Nasution tetap terus teguh dan kekal bersama Parti Keadilan Rakyat khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.

Tetapi mengapa ia harus menjadi dilema, mencetuskan polemik bilamana muqabalah atau muzakarah sebegini, iaitu pertemuan dengan Pak Lah selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, melibatkan pimpinan PAS? Meyakini seratus peratus tindakan Saudara Anwar, Wan Azizah dan Saifuddin Nasution tetapi mempersoalkan pula tindakan beberapa pimpinan PAS, samalah seperti kita mengatakan kita yakin akan kekuatan jiwa dan pendirian Saudara Anwar, Wan Azizah serta Saifuddin Nasution tetapi ragui kekuatan jiwa dan pendirian pimpinan PAS, kita letakkan jiwa pimpinan PAS di tahap lemah dan lembik, kita andaikan pendirian pimpinan PAS adalah rapuh dan mudah disogok. Betapa berdosanya kita jika ini tersebar menjadi fitnah, apatah lagi mereka ini adalah pimpinan jemaah Islam.

Ya, saya tahu wujud beberapa asas terhadap dilema dan polemik ini. Pertamanya adalah kerana kesilapan lampau yang dibimbangi terulang, kedua kerana ini berlaku pasca 8 Mac 2008, selepas runtuhnya kerajaan Umno dan BN di lima buah negeri, hilangnya kerusi-kerusi strategik Umno dan BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hilangnya dua pertiga majoriti BN di Parlimen, PAS dibimbangi akan dipujuk lagi oleh BN untuk memasuki BN bagi memperkuatkan kembali BN, selepas BN kembali kuat, PAS akan ditendang seperti sampah…

Soalnya kenapa itu yang tergambar di kepala kita bila pimpinan PAS berjumpa Pak Lah? Gambaran PAS akan masuk BN, PAS kena tipu dek Umno, PAS dipermainkan Umno dan sebagainya… Benar, pihak Umno seperti yang diakui Khir Toyo telah menawarkan apa yang dibimbangi itu, PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan kerajaan Negeri Selangor bersama Umno, tetapi itu politik Umno, biarlah dia dengan caranya, tiada apa-apa yang luak pun. Apakah kita ada terdengar PAS hadir dalam muqabalah atau muzakarah itu dengan membawa agenda yang sama? Menawarkan diri untuk membubarkan Pakatan Rakyat dan bercium mulut dengan Umno? Tidak ada bukan! Yang terbukti, sekolah agama rakyat di Kelantan akan mendapat bantuan kerajaan persekutuan, akhbar Harakah mendapat kembali permit dua kali seminggunya, tinggal lagi masalah tahanan ISA yang belum dapat diselesaikan. Jelas bahawa pimpinan PAS hari mempunyai kebijakan politik yang tinggi, sebab ada sesetengah tuntutan perjuangan yang boleh diselesaikan di meja rundingan, bukan di jalanraya atau dalam pilihanraya!

Sejarah perjuangan Islam yang panjang membuktikan bahawa muqabalah atau muzakarah dengan pihak lawan boleh diadakan selagi ia boleh memberi manfaat kepada Islam dan ummah sama ada secara tersirat atau tersurat, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sudah sering diceritakan orang, kaedah dakwah Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna juga penting untuk dijadikan rujukan dalam situasi sebegini, bagaimana beliau masuk ke kelab malam untuk berdakwah, sehingga akhirnya kelab malam itu bertukar menjadi sebuah surau! Kalau berjumpa pemilik kelab malampun boleh membuahkan hasil dalam dakwah, maka bukanlah sesuatu yang terlarang untuk PAS berjumpa dengan pimpinan Umno.

Kepada sahabat-sahabat ahli PAS sekalian, kita sudah berbai'ah dengan PAS, maka eloklah kita menuruti rukun bai'ah sepertimana yang juga diperturunkan oleh Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna lewat Risalah Ta'limnya, iaitu Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban (Tadhiyah), Taat, Thabat, Tajarrud, Bersaudara (Ukhuwwah) dan Thiqah.

Oh ya, ada pesanan untuk Saudara Karpal Singh, seeloknya saudara menekuni terlebih dahulu lapis ayat Bahasa Melayu sebelum mengkritik apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, nanti kalau ada orang kata saudara tak faham bahasa saudara marah.

28 Julai 2008

Untuk Renungan Sahabat PR

Oleh Rairy Al-Hiss

 Dato Sri Khir Toyo mengakui bahawa beliau menawarkan PAS untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya PAS sudi untuk membentuk kerajaan bersama Umno. Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Tan Sri Tajol Rosli juga menawarkan jawatan Menteri Besar Perak kepada PAS dan jumlah Exco yang banyak sekiranya PAS sudi bersama untuk membentuk Kerajaan.

Semua kita ketahui bahawa Umno mempunyai 26 kerusi DUN dan PAS mempunyai 6 kerusi DUN. Namun mereka secara terbuka sanggup untuk memberikan kerusi Menteri Besar kepada PAS dan jumlah Exco yang banyak. DAP yang mempunyai 18 kerusi DUN bersama PKR yang mempunyai 7 kerusi DUN, namun semua sedia maklum betapa sukarnya mereka untuk mengiktiraf keputusan baginda Sultan Perak yang memilih Dato Sri Nizar sebagai Menteri Besar. Hatta PAS hanya diberi 1 sahaja kerusi Exco. Ketamakan DAP sehinggakan mahu memastikan Speaker dan Timbalan Speaker dibolot oleh mereka.

Di Selangor, Umno mempunyai19 kerusi DUN dan PAS mempunyai 7 kerusi DUN. Namun dalam lamaran Khir Toyo kepada PAS, mereka sanggup berMenteri Besarkan PAS dan sejumlah Exco kepada PAS. PKR dengan 15 kerusi DUN dan DAP yang mempunyai13 kerusi DUN di Selangor tetapi dimaklumkan mereka cuba membolot kerusi yang ada dan membelakangkan PAS dalam banyak keputusan.

Di Kedah, Menteri Besarnya mengumumkan satu kerusi Exco buat DAP yang hanya mempunyai 1 kerusi DUN di Kedah sebelum Pakatan Rakyat dilancarkan. Satu sikap berjiwa besar oleh kepimpinan PAS di Kedah, walaupun kerusi Exco tersebut diisi oleh PKR akhirnya, namun Kerajaan PAS Kedah telah menawarkan kepada DAP. Cuba kita lihat di Pulau Pinang, PAS mempunyai 1 kerusi DUN tunggalnya melalui Hj Hamdan, namun tiada sebarang jawatan diberikan kepada PAS atas dasar Pakatan Rakyat.

PAS masih setia bersama Pakatan Rakyat walaupun cuba disisihkan oleh PKR dan DAP. Kenyataan Karpal yang menyelar rumahtangga PAS atas nama Pakatan Rakyat adalah satu kenyataan yang dangkal. PAS yang menghormati prinsip dan ‘rumahtangga’ jiran sangat jelas, sebagai contoh apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng melantik ‘orang kanan’ Gerakan sebagai pemegang kerusi utama GLC Pulau Pinang dan insiden lantikan ‘orang kanan Gerakan Wilayah Persekutuan’ untuk mengangotai jawatan kuasa tertentu di Selangor. Namun atas semangat setia-pakatan, PAS menghormati keputusan yang dibuat. Malangnya hanya PAS yang menghormatinya, tidak bagi DAP dengan kenyataan sinis Pengerusinya Karpal yang mempertikaikan urusan dakwah PAS.

Dalam keadaan sekarang PAS sepatutnya dilayan sebagai RAJA kerana tanpa PAS, tidak akan ada Kerajaan di Perak dan Selangor. PAS boleh mengambil jalan mudah berisiko dengan menerima tawaran dangkal Umno untuk membentuk Kerajaan di Perak dan Selangor. Tapi PAS tolak. Satu kredit buat PAS kerana berjaya dilihat sebagai kuasa penentu, secara tidak langsung mengiktiraf kepimpinan PAS serta kredibilitinya sebagai sebuah parti dan prinsipnya.

PKR dan DAP perlu melihat scenario yang berlaku sekarang dalam jiwa yang besar dengan meniktiraf kewujudan PAS. Disaat PAS dicari lawan, disaat yang sama PAS cuba disisih oleh kawan. Oleh yang demikian. Pemimpin PKR dan DAP perlukan bermuhasabah akan pengorbanan yang telah dibuat oleh PAS.

27 Julai 2008

Kronologi Krisis Mercedes Terengganu

Tarikh

Peristiwa

20 Julai

- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu Dato’ Mokhtar Nong menyatakan

keputusan kerajaan membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor baru bagi

menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kereta rasmi yang akan

digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan.

- Menteri Besar (MB) Terengganu Dato' Ahmad Said membuat justifikasi tindakan

kerajaan membeli kereta mewah itu adalah usaha menjimatkan kos perbelanjaan

tahunan, dan dibeli bukan dengan duit royalty minyak

21 Julai

- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan membawa

perkara tersebut untuk dibincangkan dalam kabinet kerana keputusan itu adalah

melanggar dasar kerajaan yang mengkehenddaki semua kementerian kerajaan pusat

dan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional.

22 Julai

- Setelah mendapat reaksi negatif dari rakyat negeri Terengganu, Pejabat MB

Terengganu mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan kerajaan

Terengganu dan mendedahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa membayar kos tinggi

untuk menyenggara kereta Perdana V6 Executive sejak 2004 hingga 2008.
- Kenyataan itu menyebut contoh penyenggaraan dua kereta Proton Perdana V6 terlalu

tinggi, mencecah RM175,229.97 dan menyatakan kereta Perdana V6 Executive yang

pernah digunakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh

mencatatkan kos tertinggi senggaraan berjumlah RM235,123.08

23 Julai

- SUK membuat penjelasan bahawa penyelenggaraan kereta Idris berjumlah

RM131,449.83 bukannya RM235,123.08 dan perbelanjaan keseluruhan

penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri

dalam tempoh empat tahun adalah RM1,071,668.82,

- Mesyuarat kabinet memutuskan bahawa kerajaan Terengganu tetap mesti

menggunakan kereta nasional dan tidak dibenarkan menggunakan kereta Mercedes

walaupun ia telah dibeli.
- MB Ahmad Said menggesa kerajaan pusat menarik balik pekeliling Perbendaharaan

Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) sekiranya tindakan kerajaan Terengganu

menggunakan Mercedes adalah melanggar kandungan Pekeliling Perbendaharaan

Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul

Samad berkata kerajaan Terengganu tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang

dalam negara kerana mengikut Arahan Penbendaharaan ia tidak membabitkan kereta

tetapi kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.

24 Julai

- Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan untuk mengesan kemungkinan

berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan keatas salah sebuah kereta Proton

Perdana V6 Executive kerajaan negeri Terengganu yang mencecah RM175,229.97

sebuah sepanjang empat tahun, kerana jumlah tersebut adalah terlalu besar.

- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mokhtar Nong mengesahkan empat

pemandu Exco Kerajaan Negeri Terengganu disoal oleh Badan Pencegah Rasuah

(BPR) berkaitan kos ‘terlampau’ penyenggaraan Proton Perdana V6.

- Pedana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kerajaan Terengganu

perlu akur dengan arahan penggunaan kereta Perdana V6 Eksekutif untuk kegunaan

Exco Kerajaan Negeri. Abdullah berkata, disebabkan kerajaan negeri terbabit sudah

membeli 14 kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta, ia akan

digunakan untuk kegunaan tetamu kerajaan negeri itu.

- MB Ahmad Said berkata isu pembelaian kereta Mercedes selesai mengikut

fahamannya setelah berjumpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri

25 Julai

- Idris Jusoh melantik seorang peguam untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan

berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan Proton Perdana V6

Executive yang pernah digunakannya.

- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya, Seni dan Warisan Negeri

Terengganu, Dato’ Za’abar Mohd Adib melanggar arahan Perdana Menteri,apabila

menghadiri Pesta Bunga Malaysia pertama di Johor Bharu dengan Mercedes baru

- Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil lima orang lagi untuk memberi

keterangan berhubung kes perbelanjaan penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive

menjadikan kesemuanya sembilan orang telah dipanggil.

26 Julai

- Setiausaha Politik MB, Ahmad Nizam menyifatkan tindakan Idris melantik peguam

dalam isu kos penyelenggaraan kereta yang tinggi dibangkitkan adalah suatu tindakan

yang tidak kena.

- BPR telah menahan lapan buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan

pegawai kanan kerajaan Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kos

penyenggaraan kenderaan itu yang terlalu tinggi.
-
Proton bertindak hantar pasukan audit, gantung pusat servis EON

27 Julai

- Tiga pemilik bengkel kereta turut ditahan BPR membantu siasatan kes berkenaan.

- Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mokhtar Nong mendedahkan empat pusat

servis utama yang digunakan oleh ahli-ahli Exco dan pegawai kanan negeri ialah Pusat

Servis EON, Tenaga Setia Service Sdn. Bhd., Pusat Servis Ranaco dan AMBL

Services.

- MB Ahmad Said berkata Ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan

menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat

sementara waktu sehingga selesai siasatan kes selesai

- Pendedahan media berhubung isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai

kenderaan rasmi Exco Terengganu bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6

Executive menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemimpin UMNO

Terengganu


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda