29 Oktober 2008

Muhyiddin tidak setuju debat terbuka diadakan- Malaysiakini


Khamis Oktober 30, 2008

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju dengaan cadangan supaya debat terbuka diadakan bagi semua calon yang bertanding untuk semua jawatan dalam pemilihan parti Mac depan.

Menurutnya, debat tersebut akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Beliau berkata jika debat tersebut diadakan calon-calon yang bertanding akan bertegang urat sesama sendiri walaupun pada dasarnya mereka mendokong perjuangan parti yang sama.

Jelasnya, beliau percaya ahli-ahli Umno sudah pandai menilai siapa pemimpin-pemimpin yang boleh memimpin parti.

Ulasan

Samada debat itu di persetujui atau tidak ianya tetap sama...kerana perhitungan perwakilan UMNO bukan kepada karisma seseorang tetapi kepada sebanyak mana seorang calon itu boleh membiayai mereka sepanjang mereka berkampung di PWTC nanti...hotel mana mereka akan di letakkan, sebanyak mana duit poket, duit minyak akan di berikan...dan apa pula janji projek jika menang...itu sahaja perhitungan perwakilan UMNO sekarang....tak payah bincang la debat ni kerana tak kemana jugak natijahnya. AHLI UMNO.......INI MASANYA UNTUK KAMU SERTAI PAS

Kes Anwar, Altantuya jadi tumpuan esok- Malaysiakini


KUALA LUMPUR: Kes berprofil tinggi yang melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongloia Altantuya Shaariibuu akan menjadi tumpuan esok.

Bagi kes pembunuhan Altantuya, Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menjadi perhatian orang ramai dan media apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan tersebut.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar (keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak Abdullah Baginda malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babak-babak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lepas.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu, perbicaraan kes Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berasa di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

POLITIK WANG DALAM UMNO - Malaysiakini

Oleh: Dr. Mahathir Mohamad

1. Saya mendapat banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam UMNO. Demikianlah keadaan sehingga Dato Seri Dr Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender. Dato Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas.

2. Saya diberi tahu wang banyak digunakan. Dahulu cuma ketua pemuda bahagian sahaja dapat. Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.

3. Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu. Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat.

4. Tetapi cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai. Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur.

5. Mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.

6. Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka. Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka.

7. Amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan UMNO, orang UMNO dan pemimpin UMNO. Perasaan benci kepada UMNO sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.

8. Orang ramai melihat UMNO sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.

9. Dalam pilihanraya umum 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada BN. Ini adalah kerana rakyat percaya benar yang kepimpinan baru UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi lebih baik daripada yang terdahulu.

10. Antara 2004 dengan 2008 mereka dapat lihat pemerintahan Abdullah dengan rasuah yang berleluasa dan keruntuhan ekonomi. Mereka juga lihat peranan yang dimainkan oleh keluarganya dan kroni mereka dan juga sikap ahli-ahli kabinet. Apa yang mereka lihat meyakinkan mereka bahawa pemerintahan ini tidak baik. Hasilnya ialah keputusan pilihanraya ke-12.

11. Mereka kecewa bahawa Abdullah bukan sahaja tidak membetulkan keadaan tetapi sebaliknya menafikan kekalahan dan penolakan oleh pengundi, termasuk yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong UMNO dan lain-lain parti komponen.

12. Saya percaya orang ramai amat kecewa melihat mainan wang dalam UMNO sekarang. Wang akan mengalir dengan banyak dan laju semasa dan selepas pencalonan. Rumah terbuka oleh kementerian sedang diadakan dengan menggunakan duit Kementerian. Semasa rumah terbuka kempen untuk pencalonan diadakan.

13. Menjelang pemilihan bulan Mac 2009 lebih banyak lagi acara dan sogokan boleh diadakan. Kemuncak akan tiba apabila wakil ke Mesyuarat Agong tiba di Kuala Lumpur untuk bersidang.

14. Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.

15. Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok. Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa.

16. Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah. Tetapi seperti disebut di atas apabila pengundi pilihanraya umum sudah benci dan bosan dengan UMNO mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan UMNO. Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang. Dan UMNO akan habis riwayatnya. Mereka yang betul-betul sayang kepada UMNO akan kutuk pemimpin dan ahli UMNO.

17. Inilah akhirnya musibah yang akan diterima kerana tamak, kerana rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

Ulasan

1. Satu kenyataan yang betul tetapi orang yang menulis ini tidak menyedari bahawa beliaulah yang menjadi punca kepada semua kekalutan ini, walaupun mungkin akan menfikan perkara tersebut akan tetapi budaya ini sememangnya lahir pada era dinasty beliau.

2. Penyakit ini sudah menjadi darah daging kepada UMNO dan boleh di katakan mustahil untuk di hapuskan...benar sebagaimana di katakan di atas jika ahli-ahli UMNO memilih seseorang, maka seseorang itu akan menjadi YB ke Menteri ke, Pengerusi Anak Syarikat ke....yang memilih akan dapat apa?...maka yang memilih juga mahukan sesuatu samada berbentuk duit, projek, kemudahan atau apa sahaja maka sesiapa yang dapat tawarkan lebih maka mereka akan menjadi pilihan.

3. Oleh kerana perkara ini tidak dapat di atasi, maka apa yang perlu di lakukan oleh ahli-ahli ialah tinggalkan UMNO, Tun Mahathir telah tinggalkan UMNO (belum masuk semula sehingga sekarang) Tungku Abd Rahman juga telah tinggalkan UMNO, Tun Husein Onn juga telah tinggalkan UMNO, Tun Razak...jika beliau di berikan umur yang panjang pun akan tinggalkan UMNO....jika semua pimpinan UMNO telah tinggalkan UMNO...kita bila lagi.

4. Tun Musa Hitam menyatakan bahawa UMNO sudah tua, dan di hinggapi penyakit tua, yang pasti penyakit tua tidak dapat di ubati lagi, kalau tidak ajal yang menjemput, pasti nya penyakit tambahan lain yang datang antaranya rabun mata (tidak dapat lihat kebenaran) Nyanyuk..tidak tahu yang mana satu air milo yang mana satu air longkang (tidak tahu halal dan haram).

5. Kesimpulannya...marilah kearah cahaya yang tidak akan padam selamanya (ISLAM), pengamalan Islam secara keseluruhan dengan bimbingan PAS....ayuh bersatu dan berjuang bersama PAS

26 Oktober 2008

AKHLAK DAN DISIPLIN DI DALAM HARAKAH ISLAMIAH

Oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Muqaddimah

Kemantapan sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkat terhadap aqidah dan prinsip itu sehingga membuahkan wala’ dan melengkapkan diri dengan akhlak dan disiplinnya.
Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berjamaah

Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah SWT dan mendapat pertolongan daripada-Nya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas

Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya sehingga didaulatkan.
Abu Musa Al Ashaari menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui Rasullah, dia berkata:

“Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahu disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”

Ini bermaksud perjuangan menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihan raya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah, maksudnya:

Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati dari sifat-sifat yang menrosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

2. Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya yang bermaksud:

“Maka kamu mestilah istiqamah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu”. (Yunus : 189)
Apabila Abu Sufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw:

“Katakan kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu. Sabda Rasulullah: Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.”

Para rasul dan sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan.”

3. Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah, maksudnya:


“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu Rasulullah bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

  1. Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.
  2. Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.
  3. Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

4. Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.
Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman Allah,

maksudnya:
“Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”
(al Maidah : 55)


Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)
Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.
Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hokum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.
Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

5. Disiplin

Firman Allah, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
(ali Imran : 200)

Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:
  1. Tatatertib dan kelakuan diri
  2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik
  3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan
  4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan
Harakah Islamiah (PAS) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:
  1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah
  2. Patuh kepada perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya
  3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah
  4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya yang boleh
  5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah
  6. Beramal dengan akhlak Islam
  7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah

6. Penutup

Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah. Setiap ahli mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda